01 June 2012

Antara Fadilat Al-Quran


AL-QURAN mengandungi banyak fadilatnya. Ini jelas diterangkan dalam hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh At-Tarmizi menerusi riwayat Ibnu Mas'ud Radiallahuanha bahawa Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam bersabda:

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah akan diberikan satu 'Hasanah' (rahmat) dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh kali ganda ganjaran pahalanya. Aku tidak berkata bahawa '(Alif, Lam, Mim) sebagai satu huruf tetapi '(Alif) satu huruf, '(Lam) satu huruf dan '(Mim) satu huruf."

Hadis tersebut jelas menegaskan, betapa setiap satu perkara yang bersifat memuliakan, menghayati, membaca Al-Quran atau seumpamanya, baik dari yang sekecil-kecilnya apatah lagi sebaliknya akan dibalas dengan pahala mengikut kadar amalan tersebut di sisi Allah Subhanahu Wataala. Umpamanya setiap huruf Al-Quran yang dibaca dikira sebagai satu amalan yang akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Jadi, teramat istimewa pulalah bagi orang yang rajin membaca dan mengamalkan Al-Quran yang ganjarannya begitu terang dijelaskan menerusi hadis Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam riwayat Hakim Rahmatullah Alaih dari Buraidah Radiallahuanha berhubung dengan sabda Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

"Seseorang yang membaca Al-Quran dan beramal dengannya akan dipakaikan dengan mahkota yang dianyam dengan 'nur' dan kedua ibu bapanya akan dipakaikan dengan dua pakaian yang lebih berharga daripada seisi dunia ini. Mereka akan berkata: "Wahai Allah, mengapakah kami diberikan pakaian-pakaian ini?. Jawapan yang diterima adalah: "Kerana bacaan Al-Qur'an yang dilakukan oleh anakmu." 

No comments:

Post a Comment